Pun begitu, insurans berkenaan hanya mampu menanggung kos perubatan untuk tiga tahun sahaja, selebihnya dia terpaksa menggunakan duit simpanan serta menjual sebahagian harta yang dimiliki termasuk syarikat milik suami untuk terus menerima rawatan.


Selain merujuk ke hospital kerajaan, Suzana juga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital swasta bagi membolehkan pembedahan dilakukan dengan segera walaupun perlu memperuntuk sejumlah kos yang tinggi.

Sehingga kini lebih RM2.5 juta kos perubatan yang telah diperuntuk wanita itu untuk melawan penyakit berkenaan daripada menjadi lebih buruk.

Wanita itu mengakui, segala simpanan dan harta yang dimiliki habis digunakan, malah kini dia hampir muflis atau pokai.

Tambahan pula, untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak enam peratus daripada jumlah gaji, dia perlu berhenti kerja. Jika tidak, dia tidak layak mendapat faedah berkenaan, selain difahamkan hospital kerajaan tidak menanggung pesakit-pesakit kanser tahap empat kerana peruntukan sedia ada dihadkan kepada pesakit-pesakit yang berpotensi untuk sembuh.

Akuinya apa yang mengecewakan, dia yang merupakan antara rakyat yang membayar cukai pendapatan setiap tahun tidak dapat dibantu dan menikmati faedah yang disediakan pada saat memerlukan bantuan.

Suzana merupakan antara pesakit kanser di negara ini yang terpaksa berdepan isu kehabisan wang simpanan akibat menanggung kos perubatan dan rawatan kanser yang terlalu tinggi untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Menurut satu kajian bertajuk Kos Onkologi ASEAN yang dijalankan oleh George Institute for Global Health dari Australia, 48 peratus penghidap kanser di Malaysia mengalami masalah kewangan selepas diagnosis, manakala 29 peratus tidak cukup dana untuk menanggung perbelanjaan selepas tahun pertama.

Perkara itu turut diakui Prof. Madya Dr. Nirmala Bhoo-Pathy dari Jabatan Sosial dan Ubat Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), yang memberitahu selain perlu berperang dengan emosi, pesakit kanser juga perlu berdepan dengan masalah kewangan yang sering menjadi masalah utama kepada golongan berkenaan.

Jelasnya, satu kajian telah dijalankan berhubung kesan ekonomi yang dialami pesakit kanser selepas sebulan disahkan menghidap penyakit berkenaan.

“Kos yang perlu ditanggung bukan sahaja melibatkan perubatan dan rawatan tetapi merangkumi kos pengangkutan untuk berulang-alik ke hospital serta sewa penginapan serta kos-kos lain.
“Mengikut kajian yang kita buat dalam tempoh setahun, 11 peratus daripada 1,600 pesakit kanser yang ditemu bual telah meninggal dunia, manakala 15 peratus lagi mampu bertahan untuk hidup bagaimanapun perlu menanggung kos perubatan dan rawatan yang terlalu tinggi.

“Hampir kebanyakan mereka memperuntuk satu pertiga daripada pendapatan bagi menanggung kos perubatan hospital, malah turut menggunakan pendapatan ahli keluarga mereka untuk meringankan beban yang ditanggung.

“Daripada jumlah itu juga, hanya 20 peratus daripada mereka mendapatkan insurans ketika masih sihat,” katanya pada majlis pelancaran buku Elevating The Voice Of Cancer Patients (Melaungkan Suara Penghidap Kanser) dan diskusi tentang Capaian kepada Rawatan Kanser baru-baru ini.
Tambah beliau, pengambilan insurans ketika sihat dilihat amat penting bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung pada tempoh-tempoh tertentu.

“Selain mengharapkan insurans, lazimnya masyarakat tidak mempunyai bantuan sokongan lain jika duit simpanan tidak mencukupi yang akhirnya menyebabkan mereka tidak mampu mendapatkan rawatan sepatutnya sehingga mengganggu proses rawatan yang memungkinkan jangka hayat mereka lebih lama.

“Seharusnya jika menyedari kita berkemungkinan untuk menghidap penyakit kronik, kita perlu membuat persiapan awal terutama 
dari segi kewangan,” jelasnya.

Sementara itu, Pakar Runding Bedah Payu Dara Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Nur Aishah Mohd. Talib berkata, mereka yang terdiri dalam kalangan pembuat dasar perlu mempunyai maklumat jelas daripada pesakit kanser agar peruntukan yang ditetapkan merangkumi secara menyeluruh berkaitan kos perubatan yang ditanggung mereka.

Jelasnya, seharusnya lebih banyak diskusi tentang keperluan pesakit kanser dibawa pada peringkat perbincangan terutama melibatkan kos kewangan.

“Isu pesakit kanser tidak mempunyai sokongan kewangan adalah isu global dan ketika ini negara sedang berusaha untuk menambah baik kemudahan sedia ada, cuma golongan pembuat dasar perlu lebih agresif untuk membantu pesakit ini kerana mereka sangat mengharapkan ada jalan penyelesaian tentang sistem sokongan kewangan,” katanya. 

Buku luahan suara pesakit kanser

Dalam usaha berkongsi pengalaman pesakit kanser, sebuah buku khas dilancarkan yang memaparkan 10 kisah unik pesakit kanser.

Penerbitan buku bertajuk Elevating The Voice Of Cancer Patients (Melaungkan Suara Penghidap Kanser) itu, bagi memberi peluang kisah dan suara komuniti berkenaan diketahui masyarakat agar mereka mendapat gambaran sebenar kehidupan yang jarang didedahkan.

Menurut Presiden Persatuan Advokasi Kesihatan Kanser Malaysia (TAC), Ranjit Kaur, buku berkenaan juga bertujuan menggalakkan pesakit berkongsi pengalaman masing-masing yang boleh dijadikan satu suara bersepadu untuk disampaikan kepada pasukan penjagaan kesihatan, penggubal dasar, organisasi bagi menyokong golongan berkenaan.

“Kisah-kisah ini mendedahkan kebimbangan berterusan tentang kekurangan pusat kanser komprehensif dan pakar rawatan kanser yang boleh dikunjungi di negara ini, kelewatan pengesanan penyakit, capaian terhadap perkhidmatan diagnostik dan rawatan tepat pada masanya serta keupayaan mendapatkan rawatan yang melanjutkan hayat.

“Saya juga bekas pesakit kanser, oleh itu saya amat memahami apa yang mereka terpaksa tanggung, selain cabaran yang dihadapi pesakit selepas disahkan menghidap penyakit berkenaan,” jelasnya dalam majlis pelancaran buku itu yang disempurnakan oleh Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd., Datuk Seri Nazir Tun Razak.

Ranjit menambah, dengan adanya buku itu, suara-suara pesakit kanser di negara ini dapat didengari bagi membolehkan lebih banyak dana diperuntuk untuk sektor klinikal di hospital universiti, peruntukan kemudahan pusat diagnosis, onkologi serta radioterapi ditambah selain menyediakan peruntukan perubatan dan rawatan untuk semua pesakit melibatkan semua tahap kanser.