PUTRAJAYA, 25 MAC: Tiada sekatan dalam aktiviti rantaian bekalan, pemasaran makanan dan e-dagang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, aktiviti pembekalan makanan dan e-dagang yang merangkumi pengeluaran bahan makanan, peruncitan, pembungkusan, pengedaran, pemborongan dan pusat pengedaran serta pengeluar bahan mentah adalah dibenarkan untuk terus beroperasi mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Manakala perkhidmatan logistik dan pengangkutan, yang menyokong rantaian bekalan dan pemasaran serta e-dagang bagi pembekalan bahan makanan dan barang keperluan, turut dibenarkan untuk terus beroperasi, katanya.
“Syarikat-syarikat yang menyokong rantaian bekalan makanan dan ditakrifkan sebagai industri hiliran atau sokongan adalah dibenarkan untuk beroperasi dengan jumlah pekerja pada tahap minima dan mematuhi langkah-langkah pengawalan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nanta berkata kebenaran beroperasi adalah selaras dengan takrif sektor yang kritikal seperti yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 21 Mac lepas.
“Ini tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rangkaian pengedaran peruncitan tidak terjejas sekaligus memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Pada masa yang sama, pihak industri diingatkan agar melaksanakan langkah-langkah pencegahan Covid-19 semasa aktiviti urusniaga berjalan seperti hanya pekerja bebas gejala dibenarkan memasuki premis pekerjaan, mengamalkan jarakan sosial dan mencuci tangan dengan kerap.
“Syarikat yang dibenarkan beroperasi turut diarah beroperasi pada kadar paling minimum atau menutup perkhidmatan bukan keperluan,” katanya.
Nanta berkata, majikan juga perlu menyediakan surat pengesahan kepada setiap pekerja untuk rujukan dan ditunjukkan kepada anggota penguatkuasa apabila diminta.
Beliau turut menasihati rakyat untuk tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian kerana ia dijamin mencukupi.
“Adalah penting untuk rakyat Malaysia tidak melakukan pembelian panik atau berlebihan dan mengamalkan ciri-ciri pengguna bestari serta melaksanakan pembelian terancang,” katanya.
– BERNAMA
Free IPTV @5tr0kk +500 Channel
Subscribe by Email
Follow Updates Articles from This Blog via Email
No Comments