KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Pelan kerajaan menangani isu peningkatan kes Covid-19 di Kuching, Sarawak antara perkara yang bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu tersebut terkandung dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang diajukan Chong Chieng Jen (PAKATAN-Stampin) kepada Menteri Kesihatan, antara lain berkaitan pelan susulan peningkatan kes terutama dalam kalangan kluster Sentosa yang melibatkan kakitangan hospital kerajaan.
Pertanyaan itu juga antara lain membangkitkan langkah tambahan kementerian untuk melindungi dan menjaga kebajikan pekerja kesihatan, pesakit dan orang awam di persekitaran hospital.
Usai sesi tersebut, tumpuan dijangka terarah kepada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan antara dijangka menjadi perhatian adalah soalan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) yang ingin tahu tindakan kerajaan menangani isu sindiket warga asing yang meneroka tanah di kawasan belum dibangunkan kerajaan dan pemiliknya.
Pandemik Covid-19 terus mendapat perhatian dengan Fuziah Salleh (PAKATAN-Kuantan) dijangka bertanyakan kepada Perdana Menteri jenis bantuan kerajaan untuk institusi dan maahad tahfiz yang terkesan akibat penutupan pusat pendidikan itu susulan penularan wabak tersebut.
Sidang dewan yang memasuki hari ke-10 hari ini, juga bakal menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.
-BERNAMA
Free IPTV @5tr0kk +500 Channel
Subscribe by Email
Follow Updates Articles from This Blog via Email
No Comments