Tiga bulan pelaksanaan Peintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir melingkupkan perniagaan gunting rambut yang diusahakan Syed Faisal Syed Mustafa Kamalu sejak empat tahun lalu.
Tanpa sesen pun pendapatan, usahawan muda itu terpaksa menanggung kos lebih RM200,000 untuk melunaskan sewa premis dan gaji 50 pekerja.
Beban terasa berganda kerana beliau memiliki 16 cawangan, selain perniagaan lain yang turut terkesan akibat larangan PKP. Tambah perit, kebanyakan penyewa premis enggan memberi potongan harga sekalipun mereka menikmati moratorium.
Mujurlah anak muda berusia 30 tahun ada pelan kecemasan. Itupun beliau terpaksa menokoknya dengan menggunakan duit poket sendiri.
“Sebenarnya hampir tutup beberapa cawangan tetapi dapat diselamatkan dengan modal simpanan yang ada dan sedikit suntikan modal poket sendiri,” katanya.
Sebanyak RM210,000 perlu dibayar untuk sewa premis niaga Bro’s Barber dan gelanggang futsal, Bro’s Futsal Centre, satu lagi cabang niaga yang diceburinya.
Cabaran berniaga
Pengalaman berniaga sejak berusia 18 tahun, dari menjual teh boba, mi goreng dan rojak, kereta sewa dan khidmat cuci kenderaan mengajarya untuk bersedia dengan risiko luar jangka, wabak Covid-19 misalnya.
“Dalam tempoh saya menjalankan perniagaan gunting rambut, inilah cabaran paling besar sekali tetapi Alhamdullilah apabila kerajaan beri buka perniagaan dengan SOP ketat bermula 10 Jun lalu, Insya-Allah dapat tutup kerugian perlahan-lahan,” katanya.
Semua perniagaan itu diusahakannya bersama abang, Syed Mohamed Syed Mustafa Kamalu, 32 dan rakan karib sejak di bangku sekolah, Ashwin Vicknesh, 30 dan Lukesh Kumar, 30.
Syed Faisal memulakan perniagaan tersebut dengan modal RM30,000. Ketika itu, beliau masih bekerja di sebuah syarikat perkapalan.
“Muncul idea ini kerana saya terpaksa pergi luar Klang untuk cari barber (tukang gunting). Jadi saya terfikir kenapa Klang tidak ada. Inilah permulaannya,” katanya.
Selepas kedai pertama mendapat sambutan selepas 10 bulan beroperasi, Bro’s Barber, sebuah kedai gunting rambut hipster, membuka cawangan kedua berhadapan pusat beli-belah Klang Parade.
Mendapati potensi di samping mahu memberi tumpuan penuh kepada perniagaan, beliau meninggalkan pekerjaan bergaji kira-kira RM8,000.
Perniagaannya kian berkembang, malah beliau membuka 16 cawangan semuanya. Bro’s Barber juga memiliki 40 pekerja tetap dan 10 lagi separuh masa.
Dengan peluasan cawangan, Bro’s Barber berdepan masalah memperoleh tenaga kerja mahir. Justeru, timbul idea untuk membuka akademi yang menyasarkan lepasan sekolah.
Buka akademi
Akademi Bro’s Barber dibuka pada 2017 dengan menaik taraf salah satu cawangan di Teluk Pulai, Klang.
Untuk itu, beliau membuat pinjaman RM20,000 melalui pembiayaan Hijrah Selangor pada tahun berikutnya. Daripada hanya keperluan asas di akademi, kini ia dilengkapi lebih banyak kemudahan.
Akademi itu melatih lebih kurang 30 orang hingga mereka benar-benar mahir. Syed Faisal juga berharap penubuhan akademi itu mengikis stigma tukang gunting ‘tidak boleh hidup’ dan ia pekerjaan bertaraf rendah.
“Kita juga tandatangani memorandum bersama Hijrah Selangor sebagai syarikat induk untuk pelajar berminat boleh belajar dan bayarannya ditanggung Hijrah Selangor.
Malah, tukang gunting berpengalaman mampu memperoleh pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan dan mereka juga boleh membuka kedai gunting sendiri.
Free IPTV @5tr0kk +500 Channel
Subscribe by Email
Follow Updates Articles from This Blog via Email
No Comments