OLEH ERMIZI MUHAMAD
BANTING, 31 DIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah individu yang tepat untuk terus menerajui kepimpinan negara, dakwa Tun Mahathir Mohamad.
Membandingkan Najib dan bapanya Tun Abdul Razak, bekas Perdana Menteri itu berkata Najib didakwa tidak mempunyai sifat kepimpinan tinggi dan bertentangan dengan kredibiliti yang dimiliki bapanya ketika menggalas jawatan sama sebelum ini.
“Saya akui saya antara individu yang menaikkan Najib. Saya fikir Najib anak Tun Razak, dan Tun Razak telah memberikan khidmat yang baik kepada negara.
“Tidak mungkinlah anak Tun Razak itu boleh jadi pencuri dan penyangak.
“Kemudian, ramai orang datang kepada saya, dan kata jangan pilih Najib ini kerana dia akan curi duit RM1 bilion.
“Saya balas, orang yang kata itu gila. Kita sangka dia akan jadi PM sama macam bapanya. Tetapi lihatlah apa yang (sudah) jadi sekarang ini?” kata Tun Mahathir.
Tun Abdul Razak adalah Perdana Menteri Malaysia kedua yang digelar sebagai tokoh negarawan terulung dan Bapa Pembangunan Negara susulan kesungguhan Abdul Razak membangunkan negara ketika menerajui kepimpinan negara bermula 2 September 1970 hingga 14 Januari 1976.
Abdul Razak juga adalah individu yang menubuhkan agensi Lembaga Kemajuan Tanah Persektuan (FELDA) dan MARA (dahulunya RIDA) yang terus menggerakkan pembangunan ekonomi masyarakat Melayu luar bandar ketika itu.
Bagaimanapun, kegemilangan tersebut semakin lenyap di bawah pentadbiran Najib apabila saham FELDA Global Ventures Holding Bhd (FGV) tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Lebih memburukkan kata Tun Mahathir, Najib hanyalah Perdana Menteri yang mengamalkan budaya korupsi dan politik wang untuk mendapatkan sokongan.
Katanya, situasi tersebut jauh berbeza di era kepimpinan Tun Razak yang mengamalkan ketelusan dan komitmen tinggi untuk membantu meningkatkan jurang pembangunan ekonomi rakyat waktu itu.
“Prinsip luar biasa yang dipegang Najib itu cuma ‘Cash is King’ dan itulah yang ‘disembahnya’ setiap hari.
“Untuk dapatkan sokongan, Najib akan sogok wang sebanyak boleh kepada semua,” dakwanya.
Tun Mahathir berkata demikian pada Ceramah Perdana Sengsara Rakyat, di Dataran Morib di sini, malam tadi.
Antara pimpinan tertinggi hadir, Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli; Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani.
=EZY=
Sumber Selangorkini
Subscribe by Email
Follow Updates Articles from This Blog via Email
No Comments