SHAH ALAM, 27 JULAI: Orang ramai kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan tiada sekatan rentas perjalanan antara negeri dan daerah dikenakan.
“Tidak ada sekatan perjalanan, orang ramai masih boleh balik kampung, tetapi jangan lupa patuhi tatacara operasi piawai (SOP).
“Walaupun kerajaan benarkan, kita perlu jaga kita, pakai pelitup muka dan gunakan cecair pembasmi kuman,” kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata ramai yang melahirkan kebimbangan ekoran laporan berita memaklumkan kerajaan akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kes Covid-19 kembali mencecah tiga angka.
“Memang ramai yang bimbang, tetapi PKP memberi kesan sangat besar kepada kita termasuk kepada perniagaan serta pergerakan. Namun yang menentukan tidak berlakunya PKP adalah diri kita sendiri.
“Jadi jangan leka, kita tidak sepatutnya patah kembali ke belakang dengan mengenakan PKP, sebaliknya kita perlu menamatkan segera PKP Pemulihan ini,” katanya.
Ismail sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menguatkuasakan semula PKP sekiranya kes Covid-19 kembali mencecah kepada tiga angka.
Semalam, 13 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan berbanding 23 kes baharu pada Sabtu (25 Julai), iaitu angka tertinggi sejak 16 Jun lepas.
Malaysia pernah mencapai sifar penularan tempatan selama dua hari berturut-turut iaitu pada 8 dan 9 Julai lalu manakala jumlah kes positif terendah pernah dicatatkan iaitu dua kes pada 10 Jun.
Free IPTV @5tr0kk +500 Channel
Subscribe by Email
Follow Updates Articles from This Blog via Email
No Comments